Dasar Penggunaan Workplace Yang Boleh Diterima

Selamat Datang ke Workplace oleh Facebook!
Sila ambil perhatian bahawa ini adalah perkhidmatan yang berbeza daripada versi Facebook untuk pengguna dan bertujuan untuk penggunaan organisasi. Ini bermaksud bahawa jika anda menggunakan perkhidmatan kami dalam tempat kerja atau pada peranti atau akaun yang dikeluarkan kepada anda oleh majikan atau organisasi lain ("Organisasi" anda), Organisasi itu kemungkinan mempunyai dasarnya yang tersendiri berkenaan penggunaan Workplace oleh anda serta penggunaan perkhidmatan oleh anda hendaklah mematuhi dasar tersebut. Sila hubungi Organisasi anda sekiranya anda mempunyai apa-apa soalan berkenaan dasarnya. Untuk mendapatkan maklumat tentang amalan dasar Workplace, sila lihat Dasar Privasi Workplace.

Menggunakan Workplace secara bertanggungjawab
Selain dasar Organisasi anda, kami juga telah mencipta peraturan berikut untuk memastikan penggunaan perkhidmatan kami secara bertanggungjawab.
Apabila mengakses API Workplace, anda mesti mematuhi Dasar Platform Workplace kami. Apabila menggunakan Workplace, anda mestilah tidak:
  • Menyembunyikan identiti anda, menyamar sebagai orang lain atau memberikan gambaran yang salah tentang perkaitan anda dengan mana-mana individu atau entiti.
  • Terlibat dalam apa-apa aktiviti yang berunsur eksploitasi, berbahaya atau boleh mendatangkan kemudaratan kepada kanak-kanak.
  • Mencipta atau memaparkan kandungan yang haram, bersifat diskriminasi, membahayakan, palsu, menipu atau fitnah atau yang mempromosikan atau menggalakkan keganasan, pelanggaran undang-undang, mencederakan diri-sendiri, tabiat gangguan makan atau penyalahgunaan dadah.
  • Melanggar undang-undang atau mencabuli hak Facebook atau mana-mana pihak ketiga.
  • Mengganggu fungsi normal Workplace atau penggunaan Workplace oleh orang lain.
  • Mengakses Workplace mahupun kandungan atau maklumat yang berkaitan melalui cara yang tidak dibenarkan oleh Facebook (termasuk melalui cara mengikis atau merangkak); memintas kawalan akses; atau selainnya mencuba untuk mendapatkan akses yang tidak dibenarkan ke Workplace atau sistem, kata laluan atau akaun yang berkaitan.
  • Berkongsi token akses pentadbir atau mendapatkan keizinan akses aplikasi yang sama kepada mana-mana pihak ketiga yang tidak diluluskan secara nyata oleh Facebook. Apabila anda memutuskan untuk memberikan akses kepada pentadbir, sama ada menerusi token atau keizinan aplikasi, kepada pihak ketiga yang diluluskan, anda boleh membenarkan pihak ketiga itu mengakses data atau kandungan anda setakat yang diperlukan bagi tujuan yang diluluskan oleh Facebook dan konsisten dengan arahan anda. Kami berhak untuk mengehadkan akses pihak ketiga tersebut (contohnya, dengan menetapkan semula token akses atau mengeluarkan keizinan aplikasi) pada bila-bila masa jika kami percaya bahawa akses tersebut telah atau akan disalahgunakan.
  • Memuat naik virus, perisian hasad atau kod hasad lain atau membuat apa-apa perkara yang boleh merosakkan, menyahdayakan, membebani atau menjejaskan Workplace atau sistem yang berkaitan (seperti serangan penafian perkhidmatan atau mengganggu pemaparan halaman atau kefungsian Workplace lain).
Sila ambil perhatian bahawa Workplace bukan untuk kanak-kanak yang berumur di bawah 13 tahun, maka jika anda berumur di bawah 13 tahun, anda tidak diizinkan untuk mengakses atau menggunakan perkhidmatan ini.

Tanggungjawab kami dan maklum balas anda
Facebook boleh menggunakan teknologi automatik untuk mengesan pornografi kanak-kanak, bahan yang menyalahi undang-undang atau berunsur kesat atau apa-apa bahan yang kami fikirkan secara munasabah boleh membahayakan Workplace, pengguna atau pihak ketiga.
Kami boleh (tetapi tidak wajib untuk) mengalih keluar atau mengehadkan akses kepada mana-mana data atau kandungan anda jika kami percaya bahawa data atau kandungan tersebut melanggar Dasar Penggunaan Boleh Diterima, Perjanjian Perusahaan Workplace Organisasi anda atau undang-undang atau peraturan berkenaan. Facebook akan menyediakan untuk anda atau Organisasi anda notis yang munasabah bagi sesuatu tindakan, melainkan dilarang oleh undang-undang.
Kami mengalu-alukan semua maklum balas tentang Workplace, tetapi ambil perhatian bahawa kami boleh menggunakan komen atau cadangan anda tanpa apa-apa kewajipan atau pampasan kepada anda.

Tarikh berkuat kuasa: 25 Mei 2018.